Skim Perumahan Spaoh dilulus

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) meluluskan Skim Perumahan Spaoh sebagai langkah strategik memperkukuh pertumbuhan pekan itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain skim perumahan, LCDA turut merancang pembinaan lebih banyak deret rumah kedai baharu berhampiran Jambatan Spaoh bagi merancakkan aktiviti komersial.

Menurut beliau, perancangan itu sejajar dengan kesiapsiagaan Spaoh menerima lonjakan ekonomi apabila jaringan jalan raya menghubungkan kawasan tersebut ke Kuching, Sri Aman dan Pakan siap sepenuhnya kelak.

“LCDA meluluskan Skim Perumahan Spaoh dan akan membina lebih banyak rumah kedai baharu berhampiran Jambatan Spaoh,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Gong Xi Fa Cai anjuran Persatuan Tiong Hua Spaoh, malam tadi.

Pada majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu turut mengumumkan peruntukan kepada badan komuniti setempat bagi menyokong pembangunan pendidikan, keagamaan dan kebajikan.

Antara peruntukan disalurkan ialah RM50,000 kepada Persatuan Tiong Hua Spaoh, RM20,000 kepada Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Spaoh dan RM20,000 kepada PIBG sekolah berkenaan.

Selain itu, RM50,000 diperuntukkan kepada Tokong Cina Spaoh serta RM100,000 bagi kerja naik taraf Tanah Perkuburan Cina Spaoh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menyalurkan peruntukan RM35,000 kepada lima NGO komuniti Cina di Spaoh bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan.

Mengulas infrastruktur, Uggah berkata beberapa projek pemangkin seperti STOLport Bebuling, CPPC Bebuling dan Taman Agro Bebuling dijangka meningkatkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta merancakkan perdagangan di Spaoh dan sekitarnya.