SIBU: Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) III Sibu 2023 menjadi medan persiapan terbaik atlet Sarawak sebelum menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 2024 .
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, SUKSAR bertujuan menjadikan atlet lebih berkeyakinan selain memantapkan lagi kemahiran mereka sebelum bermulanya SUKMA Sarawak yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 24 Ogos depan.
Katanya, setiap atlet diberi pendedahan agar mereka bersedia dari segi fizikal, kemahiran dan mental yang menjadi komponen penting dalam latihan prapertandingan.
“Segala persiapan dalam penganjuran SUKMA sedang giat dilaksanakan termasuk menyediakan kesemua atlet kita yang akan bertanding nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibaca oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penutupan SUKSAR 2023 di Stadium Tertutup Sibu, semalam.
Dalam hal ini, beliau berkata Sarawak berbelanja besar untuk mempersiapkan atlet dengan pelbagai program pendedahan termasuk penganjuran SUKSAR.
Menjelas lanjut katanya, beliau berkata edisi SUKSAR kali ini cukup istimewa kerana diadakan di bandar ini buat julung kalinya.
Ia disertai seramai 1,365 atlet dari seluruh bahagian negeri mewakili empat zon yang bertanding dalam 13 acara sukan.
Untuk rekod, SUKSAR yang berlangsung dari 15 – 18 Januari 2024 menyaksikan Zon Selatan dinobatkan johan selepas menggondol 63 emas, 43 perak dan 37 gangsa.
Zon Tengah di tempat kedua apabila berjaya mengumpul 50 pingat emas, 47 pingat perak dan 54 pingat gangsa.
Manakala Zon Utara menduduki tempat ketiga dengan mengumpulkan 49 pingat Emas, 56 pingat perak dan 59 pingat gangsa disusuli Zon Barat di tempat keempat dengan 8 emas, 20 perak dan 44 gangsa.
