Sumbangan Dr Wan Junaidi diabadi dalam biografi khas

KUCHING: Perjalanan hidup serta sumbangan besar Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar akan dipaparkan dalam biografi khas yang akan diterbitkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Biografi khas yang bakal dilancarkan semasa Majlis Konvokesyen UTS Kesembilan pada Disember ini turut menyelit sejarah pelantikan Dr Wan Junaidi sebagai Canselor kedua UTS.

Menurut Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, biografi itu akan memuatkan pandangan serta nasihat Dr Wan Junaidi mengenai hala tuju UTS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik Sarawak.

Ujarnya, pengalaman luas beliau dalam kerajaan pusat dan pelbagai kementerian bakal menjadi panduan penting bagi memastikan UTS terus berkembang seiring dengan agenda pembangunan negeri ini.

“Beliau turut menekankan kepentingan dalam memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran pengurusan, serta pemahaman menyeluruh terhadap elemen kemanusiaan,” katanya selepas mengetuai delegasi UTS melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Pelantikan TYT sebagai Canselor katanya akan menjadi penanda aras bagi memperkasakan pengurusan dan program akademik di UTS, terutamanya dalam melahirkan tenaga kerja yang relevan dengan keperluan Sarawak.

Hadir sama Pendaftar UTS Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pentadbiran dan Perhubungan Korporat UTS Mohd Ian Daim Mahmud, Pengurus Pemasaran dan Pengambilan Pelajar Kuching Lau Wee Ming.