PUTRAJAYA: Malaysia tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami “bankrap air” seperti dibimbangkan di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, ini kerana negara ini masih ada sumber air mentah mencukupi dan negara ini menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun.
Katanya, cabaran sebenar adalah pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.
“Cabaran utama negara bukan kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata, ini bagi menjamin sekuriti, adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang.
Katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan demikian sebagai merujuk kepada laporan Harian Metro bertarikh 23 Mac 2026.
Laporan itu menyarankan supaya Kerajaan melalui PETRA merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air global’.
