KUCHING: Syarikat Ma Hung menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan membantu golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan di kawasan Satok dan Petra Jaya di sini, hari ini.
Menerusi CSR itu, syarikat berkenaan menghulurkan sumbangan berupa masing-masing 400 beg beras dan 400 beg gula untuk diagihkan kepada penerima di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Satok, Pantai Damai, Tupong, Demak Laut dan Semariang.
Penyampaian sumbangan itu disampaikan Pengarah Ma Hung Food Stuff Sdn. Bhd., Datuk Tay Yung Hock di Persatuan Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani (PKDAHJ) , di sini.
Menurut Tay, selain program tersebut, syarikat itu turut menyampaikan sumbangan yang sama kepada penerima Kampung Tabuan Dani pada 6 Mac dan
juga di kawasan Serian sempena program derma darah.
“Kami percaya nilai kemanusiaan dan kasih sayang melangkaui sempadan latar belakang. Oleh itu, bantuan yang disampaikan tanpa mengiran kaum dan agama.
“Ini merupakan salah satu kami melakukan CSR kepada masyarakat,” katanya pada majlis itu.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Petra Jaya, Datuk Dr Munirah Mohd Hassan serta kakitangan Syarikat Ma Hung dan persatuan kebajikan.
Menurut Tay, syarikat berkenaan juga merancang beberapa program kebajikan lain dengan kerjasama pertubuhan dan masyarakat.
“Kami akan terus membantu masyarakat demi meringankan beban mereka terutama pada musim perayaan,” katanya.
Setakat ini, program kebajikan Ma Hung Foodstuff Sdn Bhd telah dilaksanakan sehingga ke Lundu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyantuni komuniti di pelbagai kawasan.
