Taman Rekreasi Sundar dijangka siap April depan

LAWAS: Projek Taman Rekreasi Sundar Peacefullness di sini dijangka siap April tahun ini untuk fasa pertama.

Fasa pertama membabitkan komponen ruang niaga, taman permainan dan sukan lasak serta laluan untuk berbasikal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, projek taman terbabit bernilai lebih RM5 juta akan bersambung dengan projek Tebingan Sungai Sundar.

“Ini akan kita laksana secara berperingkat-peringkat,” katanya sewaktu mengadakan lawatan kerja ke projek taman rekreasi itu di Sundar.

Awang Tengah berkata, projek Tebingan Sungai Sundar pula membabitkan kerja mengorek mendapan sungai dan pembinaan tembok menghalang runtuhan tebingan sungai di Kampung Tanjung Pagar yang diutamakan dilaksanakan tahun ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.