KUCHING: Agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus beroperasi seperti entiti komersial dengan menggunakan teknologi terkini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting untuk meningkatkan produktiviti dan memberi pulangan kepada negeri.
Sehubungan itu katanya, kerajaan bersedia melakukan transformasi menyeluruh terhadap peranan sektor awam dan GLC demi memacu pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing.
Dalam ucaptamanya pada sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak (SCLS) 2025 di Santubong hari ini, Abang Johari berkata, transformasi itu turut menuntut perkhidmatan awam tidak lagi berfungsi hanya sebagai pentadbir dasar, sebaliknya menjadi rakan kongsi strategik kepada sektor swasta.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan modal dan hala tuju, tetapi agensi kerajaan dan GLC mesti beroperasi seperti entiti komersial dengan menggalakkan inovasi, produktiviti dan kecekapan komersial.
Pendekatan baharu ini, katanya, akan meletakkan perkhidmatan awam sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, sementara GLC bertindak sebagai pelaksana yang memacu pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan inovasi.
“Kita perlu menyesuaikan pengurusan fiskal supaya seimbang. Jika terlalu banyak dibelanjakan untuk membiayai hutang, sektor produktif akan terabai. Kita mahu memastikan Sarawak berada di landasan kukuh untuk membangunkan ekonomi yang mampan,” katanya.
SCLS 2025 bertemakan “Future Ready Governance: Catalysing Collaborative Leadership for Sarawak’s Next Leap” menghimpunkan 115 pemimpin badan berkanun dan GLC untuk membincangkan strategi memperkukuh kepimpinan, tadbir urus dan kerjasama strategik bagi melonjakkan pembangunan Sarawak.
Abang Johari menjadikan Singapura sebagai model yang berjaya menggabungkan kecekapan komersial dengan penglibatan kerajaan melalui syarikat milik negara yang berdaya saing dan mampu memberi pulangan kepada rakyat.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam ucapan aluannya berkata, Sarawak perlu mempercepatkan pelaksanaan dasar, mengukuhkan koordinasi dan mengekalkan standard tadbir urus tertinggi supaya setiap dasar, pelaburan dan inisiatif membawa negeri ini lebih dekat kepada matlamat kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian.
Katanya, keupayaan kepimpinan korporat untuk mengadaptasi perubahan, memperkukuh tadbir urus dan bekerjasama secara strategik adalah sebagai kunci untuk melonjakkan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.