LUNDU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini merupakan ‘game changer’ dalam membentuk hala tuju sistem pendidikan baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, TVET merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada yang boleh memenuhi permintaan dan keperluan tenaga mahir dalam industri di negara ini.
Katanya, persaingan dan perbandingan tidak harus berlaku antara akademik dan kemahiran kerana kedua-duanya saling berkait dan memerlukan.
Malah TVET ujar beliau, mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju seiring dengan negara-negara lain.
“Melalui TVET, kita mahu melakukan satu ‘game changer’ dalam usaha menyediakan ekosistem pendidikan yang baharu dan bukannya untuk bersaing tetapi untuk melengkapi sistem pendidikan akademik sedia ada kerana kita tahu bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara maju,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Inisiatif TVET di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Cawangan Lundu di sini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberitahu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beliau untuk meneraju Majlis TVET Negara dalam usaha mengkoordinasikan 12 Kementerian yang mempunyai institusi TVET untuk memastikan keberkesanan kos daripada dana RM6.8 bilion yang telah disalurkan.
Usaha ini untuk memastikan pelajar yang mengambil jurusan di bawah bidang TVET mempunyai peluang pekerjaan serta keberkesanan silibus yang relevan.
“Maka yang paling penting adalah latihan yang diberikan untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan mereka nanti.
“Di peringkat nasional, 94 peratus pelajar dari lulusan TVET telah berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian mereka,” dedahnya.
Hadir sama Pengerusi CENTEXS & CENTEXS Commercial Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd Yusof, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman serta tetamu kenamaan lain.
Ahmad Zahid dijadual berlepas pulang ke ibu negara petang ini selepas lawatan kerja sehari di Kuching.