KUALA LUMPUR: Seramai sembilan daripada 30 penerima menerima sumbangan MAKSAK Cares di perkarangan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL-Rumah Sarawak) di sini, hari ini.
Majlis penyampaian diadakan semasa Acara Memasak Borpedas Sarawak dan Penyampaian Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran isteri kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak,
Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, anak Premier Sarawak, Dayang Nurjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak; Dato Baduyah Bujang, isteri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar serta isteri Pengarah Yayasan Sarawak, Datin Sharifah Khamsiah Wan Bujang bersama tetamu kehormat yang lain.
Turut hadir menyaksikan acara tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pegawai Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur, Awang Supian Awang Daud.
Program yang mengangkat juadah tradisional Borpedas sebagai simbol warisan kulinari Sarawak ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga Sarawak di ibu negara, malah menjadi platform menyampaikan sumbangan ikhlas melalui inisiatif MAKSAK Cares kepada golongan yang memerlukan.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan, mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara kebajikan serta mempererat hubungan silaturahim antara agensi dan komuniti Sarawak di Kuala Lumpur.
