KUCHING: Rakyat di negeri dinasihat berwaspada dengan penularan semula wabak Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Krismas nanti.
Gesaan itu dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki sambil menyarankan kepada orang ramai untuk menggunakan semula pelitup muka terutama di tempat sesak demi keselamatan sendiri.
“Kita harus sentiasa berjaga-jaga kerana kita tidak tahu apa yang berlaku terutamanya Covid-19 yang merebak dengan pantas.
“Pastikan anda sentiasa melakukan penjarakan sosial dan sekiranya mempunyai gejala Covid-19 maka anda perlu segera ke hospital,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan 200 paket biskut serta kad ucapan Sambutan Krismas daripada Premier Sarawak kepada penganut Kristian di kawasannya hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau singgah di beberapa kedai bagi menyampaikan paket biskut bersama wakil daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Satok yang juga penganjur bagi penyerahan tersebut.
Menurut Ibrahim, ini merupakan tradisi yang dilakukan setiap kali tibanya perayaan Krismas.
“Ia menjadi keunikan Sarawak yang mampu meraikan hari kebesaran agama-agama lain.
“Kita merapatkan hubungan masyarakat Sarawak khususnya di Satok biarpun kepelbagaian agama dan bangsa tetapi rakyat Sarawak masih mampu hidup dengan harmoni yang menjadi keunikan di negeri ini,” katanya.
