KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengajak semua pihak membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan itu boleh dihulurkan khusus kepada pesakit kanser yang memerlukan sokongan kuat dari segi moral dan psikologi serta emosi dalam membantu mereka menjalani kehidupan harian.
Tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan salah satu kerjasama strategik antara kementerian dengan rakan strategik iaitu agensi kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, NGO dan individu untuk membantu kementerian memelihara kebajikan kumpulan sasar selaras konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama, katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program PETRONAS Memacu Kehidupan Krismas 2023 Peringkat Nasional di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
Program itu dianjurkan PETRONAS dan JKM Sarawak untuk menceria dan menggembirakan golongan sasar sempena musim perayaan Krismas.
Nancy menyerahkan 200 hamper bakul makanan seperti paket makanan asas, makanan segera dan biskut perayaan kepada pesakit kanser di HUS dan kepada penerima bantuan JKM.
Menurut Nancy, Yayasan Petronas telah menyasarkan golongan yang berkeperluan di seluruh Malaysia khas semasa tbanya musim perayaan utama yang disambut di Malaysia dan Sarawak.
Melalui sinergi multi-sektorasl itu, katanya, semua lapisan masyarakat memain peranan serta tanggungjawab bersama-sama untuk memberi sokongan sosial kepada golongan yang memerlukan bagi memperkasa komuniti dan membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Usaha murni itu tidak akan tercapai tanpa adanya kesungguhan dan komitmen semua, tegas beliau dan menambah, bantuan dalam mensejahterakan golongan sasar terutamanya dari segi kewangan dan bantuan yang lain merupakan satu amalan yang mulia.
Hadir sama Pengarah JKM Sarawak, Adana Jed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Shariah Francis, Ketua Hal Ehwal dan Kawal Selia Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan Petronas, Khairuddin Mohd. Jaafar dan Pengurus Besar Petronas Sarawak, Zulaihi Mohd. Mantali.
