KUCHING: Wisma Lestari milik Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan berfungsi sebagai hab usaha pemuliharaan dalam melindungi taman negara, hidupan liar dan rizab semula jadi di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bangunan baharu terletak di Kota Sentosa ini bukan sahaja menempatkan kakitangan SFC tetapi platform yang diwujudkan kerajaan bagi memperkukuhkan pemeliharaan warisan semula jadi di rantau ini.
“Kawasan ini akan diwartakan sebagai rizab semula jadi di Kota Sentosa dan akan dijadikan tempat penyelidikan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Wisma Lestari di sini, semalam.
Abang Johari menambah, bangunan ini dilengkapi Makmal Forensik Hidupan Liar Sarawak (SWIF) di tingkat bawah, akan menyokong kajian termasuk penyelidikan terhadap spesies tumbuhan bernilai tinggi.
Menurutnya, beliau telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Biodiversiti Sarawak, Tiong Chia Yeo mengenai sejenis tumbuhan dengan daun yang bernilai 320 USD setiap satu.
“Tumbuhan ini boleh ditanam melalui kaedah pengurusan baharu dan mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia, malah terdapat laporan pelancong membawanya keluar dari negara ini.
Dalam majlis tersebut, Abang Johari turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu antara Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan SFC bagi kerjasama penyelidikan serta pembangunan bakat.
Selain itu, SFC dan Universiti Malaya (UM) turut memeterai MoU bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan berdasarkan kesaksamaan dan manfaat bersama.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, dan Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran.
