Rodiyah mohon pertimbangkan bina premis Tamu Desa Batang Sadong

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan Program Pembangunan Premis Tamu yang bertujuan merangsang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, ini dapat direalisasikan dengan menjadikan Tamu Desa sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat, yang memberi manfaat kepada peniaga dan penduduk.

Ia menjadi platform yang memberi impak positif jangka panjang kepada peniaga kecil, tambahnya.

“Sehubungan itu, saya mohon KUSKOP mempertimbangkan pembinaan premis Tamu Desa di kawasan Batang Sadong seperti dinyatakan dalam surat permohonan pada 28 Oktober 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Menjunjung Kasih Titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Rodiyah juga berkata, pada perbahasan Belanjawan 2025 lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pembinaan semula bangunan sekolah di parlimen Batang Sadong iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong dalam RMK-12 Rancangan Boleh Pinda Empat (RP4) Tahun 2024.

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk membiayai dan akan melaksanakan projek tersebut.

“Rentetan dari perkembangan ini, KPM menyatakan sedang mengenalpasti projek sekolah bagi menggantikan kedua-dua projek tersebut yang telah diluluskan dalam RP4.

“Saya mohon pencerahan dari KPM adakah projek yang sedang dikenal pasti ini nanti terletak di kawasan parlimen Batang Sadong, memandangkan masih terdapat banyak sekolah daif di,” katanya.