BINTULU: Kemudahan Perubatan Kecemasan (EMF) akan diwujudkan di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini untuk meningkatkan kecekapan terhadap sebarang bentuk kecemasan.
Kemudahan yang dicadangkan itu adalah bagi menyokong perkhidmatan kecemasan sedia ada dengan menyediakan khidmat ambulans untuk pekerja di tapak taman terbabit sepanjang masa.
Penyediaan kecekapan khidmat kecemasan itu adalah inisiatif OCI TerraSus dan diuruskan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcom Mussen Lamoh di Samalaju Resort Hotel di sini.
Mesyuarat itu dihadiri pemegang taruh utama dan pengurusan kanan pemilik industri bagi membincang peranan EMF dalam meningkatkan keselamatan pekerja.
Perkhidmatan Antarabangsa SOS Sdn Bhd (PKA.SOS) dengan kerjasama SOS Antarabangsa yang mengemukakan cadangan itu, mengetengahkan kepakarannya dalam kesihatan perindustrian dan khidmat kecemasan.
EMF yang dicadangkan bertujuan meningkatkan keselamatan dan menyediakan khidmat perubatan serta-merta di tempat kejadian dengan mengerahkan pasukan perubatan yang cekap bagi menyelaraskan situasi kecemasan, jagaan segera sebelum dihantar ke hospital dan memberi rawatan terhadap kecederaan serius.
SIP terletak kira-kira 60 kilometer (km) di timurlaut Bintulu. EMF itu akan dilengkapi sepenuhnya dengan khidmat ambulans bagi mempercepatkan pemindahan kes kritikal ke Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan lanjut.
Perkhidmatan itu penting dalam merapatkan jurang geografi dan menyediakan khidmat perubatan untuk pekerja di SIP. Penubuhan EMF akan menjadi sebahagian daripada komponen penting dan nilai tambah kepada SIP yang memilk banyak industri berat, dan potensi menarik pelaburan pada masa depan.
SIP adalah hab perindustrian seluas 8,000 hektar dan menempatkan 14 pelaburan dalam industri berat seperti aluminium, ferroalloy, polysilicon dan pengeluaran gas.
Kawasan perindustrian itu memain peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri di negeri ini, disokong oleh infrastruktur penting termasuk Pelabuhan Samalaju, loji rawatan air, jabatan bomba dan Samalaju Resort.
RECODA sebagai penyelaras mesyuarat, komited menyokong inisiatif tersebut yang akan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan pekerja. Susulan daripada insiatif OCI TerraSus, RECODA memberi jaminan mewujud persekitaran kondusif untuk pertumbuhan perniagaan di wilayah terbabit.
