20 peserta projek madu kelulut Kem Pangkalan Udara Kuching

KUCHING: Kem Pangkalan Udara Kuching kini menjadi lokasi pelaksanaan sulong projek keusahawanan madu kelulut di bawah ATM Madani di sini.

ATM Madani merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan majlis peluncuran projek itu berlangsung pada hari ini.

Projek berimpak tinggi ini melibatkan seramai 20 peserta terdiri daripada ahli Pertubuhan BAKAT Pangkalan Udara Kuching dan dimulakan dengan pemberian 20 log kelulut sebagai koloni permulaan.

Ia kemudiannya akan dikembangkan kepada 40 log melalui proses penggandaan koloni.

Peserta didedahkan dengan pengetahuan am dan kebaikan kelulut oleh ketua projek ATM Madani, Prof Dr Zainab Ngaini dan praktikal teknik asas penternakan kelulut yang dikendalikan oleh pakar kelulut, Kapt (B) Syed Amran Mohamad.

Peserta juga akan dilatih untuk menghasilkan produk hiliran berasaskan kelulut di bawah bimbingan Ummu Aqilah Makshut dan latihan pemasaran produk melalui teknik kecerdasan buatan (AI) oleh Azlandy Ali Tuah.

Antara produk yang akan dihasilkan termasuk sabun, losyen, balm dan gincu berasakan madu kelulut dan propolis.

Turut hadir ialah Pengerusi BAKAT Pangkalan Udara Kuching, Noridah Ahmad @Othman, dan Pengarah Pusat Kelastarian UNIMAS, Prof Madya Dr Rafeah Wahi.