66 peserta berjaya tamatkan program LEADS, SPLF Versi 2.0

DEBAK: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berperanan penting dalam usaha mendidik dan memperkasakan masyarakat luar bandar khususnya menerusi program literasi serta peningkatan kemahiran.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, peranan itu semakin signifikan dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir menikmati arus kemajuan era digital.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF), PLF Versi 2.0 dan Program Literasi Fungsian Dewasa (LEADS) di Dewan Perpaduan Debak.

Seramai 66 peserta Bahagian Betong berjaya menamatkan program.

Menurut beliau, kejayaan peserta membuktikan peluang menimba ilmu terbuka kepada semua tanpa mengira usia atau latar belakang, malah kegigihan mereka wajar dijadikan contoh kepada masyarakat.

Program PLF menyediakan asas membaca, menulis dan mengira kepada golongan dewasa, manakala PLF Versi 2.0 menekankan kemahiran praktikal serta teknologi, sementara LEADS memberi fokus kepada literasi digital dan sosial bagi memenuhi keperluan dunia moden.

Razi menegaskan komitmen kerajaan negeri pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkukuh pembangunan modal insan menerusi peluang pendidikan dan latihan kemahiran secara formal dan tidak formal.