Masalah pembangunan perlu diselesai melalui perundingan

KAPIT: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan Kapit dengan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, antara projek utama yang sedang dan bakal dilaksanakan ialah pembinaan Kolej Profesional MARA, Balai Polis Kapit, jambatan menyeberangi Sungai Batang Rajang berhampiran Nanga Yong serta jalan menghubungkan Nanga Semaram ke seberang Nanga Yong.

“Pembangunan itu bukan sahaja meningkatkan akses dan keselamatan, malah membuka ruang lebih luas kepada peluang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek dan Insentif Pelajar di Song, semalam.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kerajaan turut merancang projek pembinaan sekolah baharu SMK Bukit Goram, Dataran Bujang Berani serta pembangunan semula kawasan lapangan terbang lama.

“Projek pembinaan hotel juga dirancang bagi merancakkan sektor pelancongan di Kapit.

“Semua projek ini adalah perancangan berterusan kerajaan dan bukannya hanya ketika musim pilihan raya. Ia bertujuan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama berharap penduduk dan pemilik tanah memberi kerjasama agar projek berjalan lancar. Segala isu berkaitan pembangunan wajar diselesaikan melalui perundingan, bukannya halangan.