Kerap dilanda banjir, Jalan Ulu Pandan–Binyo segera dibaik pulih

SEBAUH: Jalan Ulu Pandan–Binyo yang kerap dilanda banjir akan dibaik pulih segera menggunakan peruntukan khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja pembaikan dijadual bermula bulan depan, sebelum musim hujan melanda.

“Jurutera Bahagian Bintulu kini sedang menyiapkan anggaran kos, dan pelaksanaan hanya menunggu kelulusan dana,” katanya selepas mengadakan lawatan di tapak projek berkenaan, semalam.

Dalam lawatan kerjanya, beliau turut meninjau Projek Jalan Ulu Pandan Fasa 2 bernilai RM96 juta yang dimulakan sejak Januari 2022, manakala fasa ketiga masih di peringkat tender.

Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memaklumkan bahawa kekangan kewangan menyebabkan kawasan Rumah Irai belum dimasukkan dalam projek berkenaan.

“Jalan raya yang baik akan membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Kerajaan juga bercadang mengambil alih bekas jalan balak untuk dijadikan jalan negeri bagi memperluas jaringan jalan di pedalaman,” katanya.