TYT, Toh Puan tiba di Bintulu raikan Sambutan Hari Malaysia 2025

BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba Bintulu bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2025.

Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini berpusat di Bintulu.

Keberangkatan TYT Tun Pehin Sri tengahari tadi diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan bersama isteri, Datin Melinda Claudia Bucking.

Menyambut ketibaan TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Sejurus tiba, TYT Tun Pehin Sri berkenan mengaminkan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Bahagian Bintulu, Ustaz Awang Fakrulizan Awang Madohi.

TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan doa agar segala acara yang dirancang berjalan lancar serta rakyat bersama-sama menghayati makna dan kepentingan Hari Malaysia yang diraikan pada setiap 16 September.