LAWAS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg fokus kepada usaha pembangunan secara menyeluruh untuk rakyat di wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, komitmen itu jelas digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 tanpa mengira latar belakang dan kawasan.
Berucap merasmikan Program Hasrat Madani anjuran Jabatan Komunikasi (JKom) Daerah Lawas di Tebingan Sungai Kampung Dato Kuala Lawas petang semalam, beliau mengajak rakyat Sarawak supaya bergerak bersama Abang Johari dalam memakmurkan negeri ini.
“Premier kita sudah mempunyai strategi bagaimana mencapai kemajuan. Sebab itu kita ada PCDS 2030 untuk mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi sambil menjaga kepentingan alam sekitrar,” tegas beliau.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kanan JKOM Zon Sarawak Shahrizan Putit, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
Awang Tengah berkata, GPS terus berusaha mencorakkan masa depan Sarawak melalui berbagai strategi ekonomi baharu dan juga memastikan ekonomi konvensional terus dipergiatkan dengan penggunaan teknologi terkini.
Oleh itu, katanya, Sarawak mahu memastikan kestabilan negara terpelihara dengan tidak menjadikan politik perbalahan sebagai modal populariti.
