UNIMAS tuan rumah Program Sokongan Strategik Seep: Sci-Math Camp

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi tuan rumah Program Sokongan Strategik Seep: Sci-Math Camp 2025 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan, bermula minggu ini.

Program pemukiman empat hari itu ditaja oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Simunjan serta Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, sebagai salah satu intervensi di bawah inisiatif Sarawak Education Enchancement Programme (SEEP).

Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh, berkata seramai 240 pelajar dari SMK Sri Sadong, SMK Sebuyau, SMK Gedong dan SMK Simunjan No. 1 terpilih menyertai pembelajaran intensif merangkumi enam mata pelajaran kritikal iaitu Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah, Biologi dan Kimia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi UNIMAS atas kerjasama menganjurkan program pendidikan komuniti yang berterusan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bidang Sains Sosial Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Edwin Apok, memuji inisiatif persediaan peperiksaan yang digerakkan oleh PPD Simunjan melalui kerjasama strategik dengan universiti.

“Bagi PPD Simunjan, JPN Sarawak bersama MEITD akan terus membantu bukan sahaja meningkatkan kadar kelulusan SPM, malah memacu pencapaian cemerlang dalam semua subjek,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan.

Peserta program turut meluahkan keterujaan apabila diberi peluang merasai ekosistem pembelajaran universiti yang berbeza daripada suasana kelas di sekolah.

Mereka juga berpeluang memberi tumpuan sepenuhnya bersama rakan baharu dari sekolah lain sepanjang pemukiman.

Perkongsian guru pakar mengenai kaedah, tip dan teknik menjawab turut menambah keyakinan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin hampir.