LONDON: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiba di London pada jam 8:15 malam Ahad waktu tempatan bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama lima hari.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, ekonomi dan teknologi semikonduktor.
Turut serta iaitu Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh kedudukan negeri di peringkat global, khususnya dalam pembangunan modal insan.
Pada masa sama, menjalin kerjasama strategik dengan industri berteknologi tinggi.
Usaha ini diyakini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara Sarawak dan rakan antarabangsa dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta inovasi teknologi. Ia seiring aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab semikonduktor serantau.
Sepanjang berada di London, Premier Sarawak dijadual menghadiri beberapa program utama, termasuk sesi bersama London School of Economics (LSE) pada Selasa pagi, diikuti lawatan kerja ke Henley Business School pada sebelah petang.
Pada Rabu, beliau akan menyertai program semikonduktor SMD di Microelectronics UK, yang bakal menyaksikan pelancaran teknologi baharu serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri dari United Kingdom dan Eropah.
Dalam program berkenaan, Premier Sarawak turut dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk “Building the Integrated Silicon Longhouse: Sarawak Blueprint to Accelerate Global Investment & Industry Impact” di ExCeL London.
Lawatan kerja Premier Sarawak dijangka berakhir pada Khamis sebelum beliau berlepas pulang ke Kuching. – UKAS
