KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Biro Wanita Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dalam usaha memperluaskan peranannya.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyifatkan kerjasama strategik ini sebagai satu penanda penting dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti.
Jelasnya, ia membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan belia wanita Sarawak melalui program latihan kemahiran, teknologi serta pembangunan industri.
“Melalui MoU ini, ahli-ahli Biro Wanita SABERKAS dan wanita di Sarawak akan berpeluang mengikuti lebih daripada 600 program latihan yang ditawarkan oleh CENTEXS dalam pelbagai bidang berasaskan kemahiran, teknologi dan pembangunan industri,” katanya dalam majlis itu hari ini.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita SABERKAS itu menambah, kerjasama ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang menekankan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Ujarnya, dengan adanya MoU tersebut, lebih ramai wanita dan belia dapat dilatih agar mereka turut sama menyumbang kepada kejayaan Sarawak.
Hadir sama ADUN Daro yang juga Setiausaha Agung SABERKAS, Safiee Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman.
