KUCHING: Kontinjen Sarawak bertekad merangkul gelaran juara keseluruhan pada temasya Borneo Games Kuching (BGK) 2025 berlangsung dari 24 hingga 28 September ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat sehubungan itu mengingatkan kontinjen agar tidak memandang ringan cabaran daripada kontinjen luar.
“Kita memang menyasarkan juara keseluruhan, cuma jumlah pingat masih dalam perincian.
“Saya yakin kita mampu mencapai sasaran itu, namun kontinjen tidak boleh mengambil mudah cabaran daripada pasukan lain seperti Sabah, Kalimantan Timur, Labuan dan Brunei,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) di sini, hari ini.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Khairul Nizam Morshidi memaklumkan bahawa semua acara sukan akan tetap dipertandingkan selepas penyertaan mencukupi diterima daripada negeri dan wilayah yang mengambil bahagian.
Perasmian BGK 2025 dijadual berlangsung 24 September ini dan akan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penganjuran BGK 2025 bukan sahaja menjadi medan persaingan sengit, malah simbol semangat perpaduan dan kesukanan seluruh rakyat Borneo.
