Permasalahan, keperluan penduduk diberi perhatian – Dr Hazland

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.5 Demak Laut kini mengadakan siri mesyuarat dan dialog pembangunan bersama pemimpin parti di peringkat ranting dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) sejak 1 Februari lalu.

Mesyuarat dan dialog itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri  Tenaga dan Kelestrian  Alam Sekitar yang juga ADUN dan Ketua Cawangan Parti PBB N.5 Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Ia diadakan pada setiap hujung minggu dengan membincang pelbagai program pembangunan sama ada yang akan dan telah dilaksanakan  di kawasan kampung terbabit.

Selain itu, dalam mesyuarat itu juga menerangkan lima teras pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Demak Laut.

Lima teras pembangunan itu, ialah projek perumahan rakyat, infrastruktur, kebajikan, sosioekonomi dan tanah.

Pada masa sama, Dr Hazland juga mendengar pelbagai input dan permasalahan dan keperluan penduduk di kawasan terbabit.

Semua permasalahan dan keperluan penduduk diambil maklum dan akan disusuli dengan pemantauan  dan tindakan.

Dalam setiap mesyuarat dan dialog bersama penduduk terbabit, Dr Hazland mengingatkan penduduk supaya terus mengekalkan kestabilan dalam parti dan menyokong semua dasar pembangunan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya mendapatkan  maklumat pelbagai rancangan pembangunan di kawasan masing-masing daripada sumber sahih, seperti ketua masyarakat, pejabat Daerah Kuching, Pusat Khidmat DUN N.5 Demak Laut serta agensi kerajaan berkaitan.

Parti PBB DUN  Demak Laut mempunyai 41 ranting.