Sarawak, LSE meterai kerjasama bangunkan modal insan, kelestarian alam

LONDON: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan usaha dalam pengurusan kelestarian alam, pembangunan modal insan serta inovasi dasar global dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama London School of Economics and Political Science (LSE).

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mewakili Sarawak bersama Professor of Enviromental Economics LSE, Susana Mourato di London, hari ini waktu tempatan.

Ia disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi kerajaan negeri lain.

Menurut Abang Johari, pemeteraian MoU ini menjadi kerangka kerjasama yang menyatukan kekuatan Sarawak dengan kepakaran LSE bagi memperkasakan pengetahuan, dasar dan penyelesaian yang bermanfaat di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Dengan lebih 60 peratus tanah kita masih dilitupi hutan, hutan hujan, sungai dan biodiversiti adalah aset semula jadi terbesar Sarawak. Ini menjadikan negeri kita penyerap karbon penting di dunia.

“Namun, usaha pemuliharaan memerlukan pengiktirafan global dan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh,” katanya ketika ditemui.

Menurut Abang Johari, MoU ini turut merangkumi kerjasama dalam program pendidikan eksekutif untuk perkhidmatan awam Sarawak, biasiswa kepada pelajar, penyelidikan bersama serta penerapan kepimpinan kelestarian dan ESG dalam dasar kerajaan.

Untuk rekod, MoU ini adalah lanjutan daripada sesi meja bulat di LSE pada Mei 2025, di mana Premier Sarawak bersama delegasi berbincang dengan pakar akademik mengenai isu modal semula jadi, kelestarian dan tindakan iklim, serta peranan penyelidikan dan pendidikan dalam pembangunan negeri.

Kata Premier, pemeteraian MoU ini dilihat sebagai langkah penting memposisikan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam ekonomi hijau, di samping membuka peluang baharu dalam pendidikan dan penyelidikan bersama salah sebuah universiti terkemuka dunia.

Dalam program sama, Premier Sarawak turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar Sarawak yang menuntut di LSE. – UKAS