KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak melupuskan barang kes dadah dan racun bernilai keseluruhan RM1,471,837.24 hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, pelupusan disaksikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah menggunakan kaedah Loji Rawatan Termal (Insinerator) di Trienekens Sarawak Sendirian Berhad, Kuching Integrated Waste Management Park, di sini.
“Ini melibatkan 11,004 kes tahun 2017 hingga 2024 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, dari 23 daerah yang telah selesai siasatan dan perbicaraan mahkamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mancha berkata, barang kes yang telah dimusnahkan adalah serbuk ekstasi, syabu, ganja, pil erimin, pil nospan, ketamin, pil ekstasi, air ketum dan botol urin.
“Nilai keseluruhan barang kes tersebut berjumlah RM1,471,837.24,” katanya dan menambah pelupusan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah.
