Kampung Nanas Hilir dipilih lokasi projek SEJATI MADANI

SIMUNJAN: Kejayaan tuaian pertama sayur-sayuran hidroponik di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Kampung Nanas Hilir menjadi bukti bahawa pertanian moden mampu menjadi pemangkin ekonomi luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata, hasil tuaian ini membuktikan masyarakat kampung berupaya melaksanakan projek berasaskan teknologi pertanian moden apabila dijalankan secara terancang dan dengan kerjasama semua pihak.

“Program SejaTi MADANI ini membuktikan rakyat di peringkat akar umbi boleh menjana pendapatan melalui usaha bersama.

“Kaedah hidroponik yang digunakan bukan sahaja menjimatkan ruang dan mudah diurus, malah mampu menghasilkan sayuran yang segar serta berkualiti tinggi.

“Saya melihat potensi besar untuk projek ini dikembangkan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui UKAS semasa lawatan ke Tapak Projek SEJATI MADANI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nanas Hilir di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil tanaman hidroponik bukan sahaja digunakan untuk keperluan harian penduduk, malah turut dipasarkan kepada pemborong di Pusat Penjaja Simunjan serta penduduk kampung sekitar.