Pelajar lapan sekolah menengah Baram sertai Bengkel Edu:Pico

MIRI: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menganjurkan Bengkel Edu:Pico kepada pelajar sekolah menengah kawasan Baram di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media TEGAS, pelajar daripada lapan sekolah menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram menyertai bengkel selama dua hari itu.

Bengkel Edu:Pico ini merupakan sebahagian daripada inisiatif #DigitalInnovation4All yang dilaksanakan TEGAS dan peserta diperkenalkan kepada pengaturcaraan Python dan kit
Edu:Pico melalui aktiviti interaktif.

Mereka mempelajari asas pengaturcaraan, meneroka komponen kit Edu:Pico dan menyahut cabaran membina roda berputar menggunakan kadbod serta batang paip.

Projek praktikal ini membolehkan mereka menguji kelajuan roda melalui pengaturcaraan yang mereka bangunkan sendiri, sekali gus mencetuskan minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, bengkel ini membuktikan komitmen TEGAS untuk membuka akses kemahiran digital kepada pelajar luar bandar.

“Apabila mereka diberi peluang mencuba sendiri teknologi dan pengaturcaraan, keyakinan serta potensi mereka untuk berjaya semakin menyerlah,”katanya.

Tambahnya, inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak menuju ekonomi digital, yang mana pendedahan awal kepada STEM menjadi asas penting dalam melahirkan generasi inovator masa depan.