KUCHING: Inisiatif pendidikan baharu menerusi Program Ruby Elite bakal menjadi pemangkin kecemerlangan pelajar, khususnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di Kota Samarahan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program itu dirangka untuk memastikan pelajar mampu bersaing dalam era digital dan automasi.
“Inisiatif itu bukan sekadar bimbingan akademik, tetapi turut memberi tumpuan kepada disiplin diri, ketahanan emosi dan kemahiran berfikir aras tinggi.
“Ruby Elite disasarkan melahirkan lebih ramai pelajar Samarahan mencapai PNGK 4.00, sekali gus bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang dipengaruhi automasi dan kecerdasan buatan (AI),” katanya pada Majlis Program Toward 4.00 siri ketiga di sini, malam tadi.
Menurutnya, Ruby Elite merupakan program menyeluruh yang membimbing pelajar sejak Semester 1 dengan penekanan kepada strategi peperiksaan, kreativiti dan kemahiran digital.
“Saya sendiri memberi komitmen dengan menaja Kem Akademik Tingkatan 6 untuk semua semester agar setiap pelajar di Samarahan mendapat peluang sama rata untuk dibimbing.
“Dengan Ruby Elite, kita mahu memastikan lebih ramai anak Samarahan mencapai 4.00 penuh, bukan sekadar lulus, tetapi benar-benar berada di puncak kecemerlangan,” jelasnya.
