LONDON: SMD Semiconductor terus melakar kejayaan membanggakan di peringkat global apabila melancarkan keteq.GaN, peranti kuasa berasaskan Gallium Nitride (GaN) dan keteq.ai power converter yang didorong kecerdasan buatan (AI).
Pelancaran bersejarah itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di ExCeL London hari ini (waktu tempatan). Ia turut disaksikan delegasi kerajaan negeri dan rakan strategik antarabangsa lain.
Selain itu, SMD Semiconductor turut memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) iaitu bersama Camutronics, XFAB Dresden dan CSA Catapult UK bagi pembangunan teknologi GaN HEMT.
Manakala, MoU kedua melibatkan Sarawak Energy Berhad, 5G3i dan CSA Catapult untuk pembangunan keteq.ai power converter yang kini sedang dalam proses pendaftaran hak cipta antarabangsa.
Abang Johari dalam ucapannya berkata, pelancaran ini menandakan satu tahap kepakaran baharu dalam bidang semikonduktor, khususnya dengan pengenalan peranti kuasa Gallium Nitride yang berupaya menahan suhu tinggi.
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi tahap kepakaran dalam bidang semikonduktor bersama rakan kerjasama, iaitu teknologi keteq.GaN menggunakan Gallium Nitride.
“Ia mampu menahan haba, sekali gus membolehkan data dan maklumat disimpan dalam wafer dengan penggunaan tenaga berkuasa tinggi.
“Ini bermakna kita mempunyai kaedah baharu penyimpanan data serta penyelesaian kepada keperluan data. Ini merupakan tahap yang sangat kompetitif dalam industri semikonduktor,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan inovasi serta kerjasama rentas sempadan bagi memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekosistem global.
Tegasnya, kerajaan negeri akan terus berkolaborasi dengan mana-mana pihak untuk mencipta teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan melahirkan produk inovatif.
“Saya amat berbesar hati kerana kejayaan ini terhasil daripada pelbagai pihak termasuk pakar, pembekal, serta SMD dari Sarawak yang bergabung dalam satu ekosistem.
“Rangkaian kerjasama global ini akan membuka jalan kepada pembangunan teknologi baharu, mengurangkan pelepasan karbon, serta membina persekitaran kerja yang mesra alam,” ujarnya.
Pelancaran ini katanya membuktikan bahawa Sarawak bukan sekadar peserta dalam rantaian nilai semikonduktor global, tetapi kini muncul sebagai peneraju dalam inovasi teknologi dan ekonomi hijau, selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi hab semikonduktor berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil serta Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera, hadir sama.- UKAS
