Bandaraya Kuching bermandikan cahaya

KUCHING: Bandar raya ini bermandikan cahaya apabila majlis pelancaran Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025 dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Tebingan Kuching di sini, malam ini.

Kemuncak festival menyaksikan pelancaran sistem pencahayaan ikonik di tiga lokasi utama, iaitu Bangunan Ibu Pejabat DBKU Bukit Siol, Kuching Waterfront serta E-Penambang.

Pertunjukan bunga api turut mewarnai langit malam, menambah kemeriahan suasana sambutan bersama warga kota.

Pencahayaan baharu ini bakal menjadi mercu tanda baharu yang menyerikan panorama malam bandaraya Kuching, mencerminkan keindahan dan identiti unik bandar raya ini.

Selain itu, inisiatif pencahayaan hiasan turut diperluaskan ke kawasan utama lain seperti median dan landskap di Jalan dan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub, jejantas Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, sekitar Tugu Pahlawan, Padang Merdeka, Old Courthouse, Jambatan Gantung Satok, jejantas Satok, Panggung Udara, serta kawasan sekitar Pustaka Negeri Sarawak.

Usaha bersepadu ini memberi impak besar dalam memperindah wajah bandaraya Kuching pada waktu malam, sekali gus memperkukuh imejnya sebagai sebuah bandar raya pintar, berbudaya dan mesra pelancong.

Selain itu, festival turut diserikan dengan Pameran Floral Festival, yang menampilkan kreativiti serta keindahan seni hiasan flora hasil sentuhan tangan-tangan berbakat.

Gabungan elemen cahaya dan flora ini dijangka memberikan pengalaman visual yang memukau kepada para pengunjung, sekali gus mengangkat Kuching sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Penganjuran festival ini bertujuan memperkukuh imej bandaraya Kuching sebagai bandar raya indah, kreatif dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membina komuniti yang harmoni serta meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya.

Festival ini terbuka kepada seluruh warga kota dan orang ramai sehingga 8 Oktober 2025, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di tebingan berkenaan. Masuk adalah percuma. -DBKU