TVET platform lahirkan tenaga kerja mahir

LAWAS: Pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi platform melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri negara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, TVET memainkan peranan penting membangunkan bakat masa depan negara.

“Tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik. Kecemerlangan bukan hanya datang daripada gred A, tetapi daripada kemahiran dan kecekapan.

“TVET memberi peluang kepada anak muda untuk membina masa depan melalui latihan praktikal dan sesuai dengan minat mereka. Ingatlah, bukan kurang pandai, cuma cara belajar kita berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sinergi KEMAS Santunan Desa Daerah Lawas di Kampung Punang, di sini, semalam.

Awang Tengah menzahirkan penghargaan kepada KEMAS atas komitmen melaksanakan pelbagai program pembangunan sosioekonomi termasuk TABIKA dan TASKA KEMAS, latihan kemahiran jahitan, masakan, komputer, dandanan diri, kelas literasi serta program keusahawanan.

Tegasnya lagi, kerajaan negeri melalui pusat seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Kolej Komuniti serta institusi teknikal lain sentiasa membuka ruang kepada golongan belia untuk mengikuti latihan kemahiran selaras dengan keperluan industri semasa.

Justeru, beliau amat menggalakkan anak muda luar bandar merebut peluang latihan yang ditawarkan KEMAS dalam pelbagai bidang.