DALAT: Masyarakat inklusif yang memahami dan menyokong keperluan anak-anak istimewa hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ibu bapa memainkan peranan utama dalam perkembangan anak-anak istimewa, namun sokongan padu komuniti juga penting bagi mewujudkan masyarakat prihatin dan terbuka.
“Semua pihak diseru untuk menjadikan inklusiviti sebagai amalan seharian di sekolah, tempat kerja dan dalam komuniti agar anak-anak berkeperluan khas dapat membesar dalam persekitaran yang menyokong dan memahami,” katanya ketika merasmikan Family Day OSEIC Dalat 2025 di Tapak Kaul Oya, semalam.
Program Family Day OSEIC Dalat 2025 menghimpunkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, penjaga, komuniti setempat, agensi kerajaan, dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha memperkukuh jaringan sokongan kepada anak-anak istimewa di daerah ini.
Antara agensi yang turut serta ialah Pusat Khidmat Masyarakat N.56 Dalat, Skuad Kasih Sayang (SKS+), PERKIM, PITSA, KKD, PPDK Dalat serta SeDidik (Oya & Mukah).
“Selain menjadi platform riadah, program ini turut berperanan memperkukuh hubungan silaturahim antara OSEIC, ibu bapa dan komuniti melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk sukaneka serta sesi santai keluarga,” ujar beliau.
Dedahnya lagi, setakat 30 September lalu, seramai 74 orang kanak-kanak mengikuti sesi intervensi di OSEIC Dalat, dengan majoritinya terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan.
