BINTULU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited memastikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diiktiraf dan terus dipelihara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini termasuk di kawasan Kemena membabitkan sebanyak 26,000 hektar tanah diluluskan untuk perimeter survei dengan 12,036 hektar daripadanya telah disahkan.
“Secara keseluruhan, kira-kira 38,200 hektar tanah di kawasan berkenaan kini berada di bawah NCR, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf hak tanah rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mantar Gawai Dayak Sebauh 2026 di sebuah restoran terkenal di sini, malam tadi.
Uggah juga menolak dakwaan pihak tertentu yang memutar belit isu berkaitan pelaksanaan survei tanah, termasuk penggunaan Seksyen 6 yang kononnya bertujuan mengambil tanah rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom atas usaha berterusan memperjuangkan isu tanah demi kepentingan rakyat.
