TYT tinjau tapak bersejarah Kampung Triso

TRISO: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat tapak warisan di Kampung Triso sempena Program Keberangkatan Kembara D’Astana ke Lingga, di sini, hari ini.

Beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu di Jeti Perikanan Triso pada jam 9.50 pagi.

Seterusnya Tun Dr Wan menziarahi Tanah Perkuburan Kampung Triso disusuli bacaan tahlil ringkas serta doa arwah sebagai tanda penghormatan pada penduduk terdahulu.

Selepas itu, beliau meninjau tapak bersejarah di kampung tersebut termasuk tapak rumah lama dan telaga lama yang menjadi simbol warisan serta mencerminkan sejarah kehidupan masyarakat.

Lawatan diakhiri dengan solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Muhajirin dan beliau berkesempatan menyerahkan sumbangan sejumlah RM20,000 kepada pihak pengurusan masjid serta bersama-sama ahli keluarga dan komuniti setempat menjamu makan tengah hari.

Turut hadir ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Temenggong Bahagian Betong Ayahanda Piee Alwi, Pemanca Daerah Pusa Rasli @ Rosli Uji, Ketua Kampung Triso Awang Mos Sulaiman. – PENERANGAN