KUCHING: Lebih 70 peserta menyertai Program Nite Walk anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Patingan di sini malam tadi.
Program julung kali diadakan itu mendapat kerjasama daripada Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Patingan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung No.6 dan Belia Satok.
Laluan sejauh 2.2 KM itu bermula dari pekarangan Masjid Darulhana Patingan (MDHP) sehingga Jambatan Datuk Amar Juma’ani dan berakhir di masjid tersebut.
Pengerusi KRT Tanjung Patingan, Mohamad Yusof yang mengetuai program tersebut memberitahu, warga kampung memberi kerjasama dan sokongan untuk menjayakan aktiviti tersebut.
“Kerjasama dan komitmen padu semua pihak amat dihargai. Kita (KRT) mensasarkan 50 peserta mengambill bahagian namun bilangan itu meningkat sehingga lebih 70 orang.
“Sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung menjadi pemangkin untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti komuniti pada masa akan datang,” katanya.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti Kampung Patingan.
