LAWAS: Kempen pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan wajar diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha memberi kesedaran keselamatan kepada pengguna.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semua agensi penguatkuasa berkaitan juga perlu meneruskan program keselamatan jalan raya di negeri ini secara berkala.
“Langkah berterusan itu penting dalam memberi kesedaran kepada pemandu dan penunggang motosikal yang cuai dan tidak bertanggungjawab,” katanya pada majlis penutupan program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 MyLesen peringkat N. 82 Bukit Sari di sini.
Program itu dianjurkan bersama JPJ Sarawak, Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari dan Institut Memandu Lawas di Stadium Tertutup Lawas, semalam.
“Kita bersyukur kerana hari ini kita mendapat lesen dan dalam masa sama, saya menggesa semua penguatkuasa seperti JPJ, polis supaya terus menjalankan kempen keselamatan untuk kebaikan bersama,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Sili, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.
