DUBLIN: Sarawak merancang pembangunan sebuah Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) di Kuching sebagai pemangkin kepada Grid AI sekali gus memacu pelaburan serta memperkukuh ekosistem pusat data teknologi di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tapak seluas 405 hektar atau kira-kira 1,000 ekar dikenal pasti di Tanjung Embang, Kuching bagi merealisasikan projek berimpak tinggi tersebut.
Menurut beliau, kampus yang dikenali sebagai Kampus Data AI Kuching itu akan dilengkapi kemudahan bekalan tenaga dan air khusus bagi menyokong operasi pusat data serta pembangunan nod ketersambungan sistem AI ke arah pembentukan grid AI pada masa hadapan.
“Projek ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta atau Public Private Partnership (PPP) bermula dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 120 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media yang mengikuti lawatan kerja rasmi beliau ke K2 Strategic Data Centre Campus, Dublin, Ireland pagi tadi waktu tempatan.
Premier Sarawak yang kini dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Ireland menambah, pembangunan kampus berkenaan akan dimodelkan berdasarkan fasiliti bertaraf dunia yang dilawati itu.
Jelas beliau, inisiatif tersebut turut menyokong perancangan pembangunan berskala besar di Tanjung Embang yang merangkumi pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan laut serta pembangunan industri rendah karbon.
Beliau turut diberi taklimat oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan K2 Strategic, Kuok Meng Wei dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Eksekutif, Kuan Zhan Peng sebelum dibawa meninjau kemudahan yang disediakan.
Beliau turut diiringi Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan serta Pengarah Unit Perubahan Iklim dan Diplomasi Tenaga Sarawak (SACED), Ir. Dr Angelia Liew San Chuin.
