LCDA ketengahkan projek mampan di Singapura

SINGAPURA: Projek Pembangunan Semula Bukit Assek di Sibu dan Projek Pembangunan Pasir Panjang di Kuching antara projek pembangunan utama di negeri ini yang dipamerkan pada Sarawak Mega Fair 2025 di sini.

Berlangsung di Suntec Convention And Exhibition Centre, Singapura dari 18 hingga 17 Oktober, pameran itu merupakan platform penting anjuran Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan potensi pelaburan dan pembangunan negeri kepada pasaran serantau.

Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak dalam kenyataan berkata, projek tersebut mengetengahkan usaha LCDA merancang pembangunan secara mampan dengan pendekatan strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kata LCDA.

Projek Bukit Assek melibatkan pembangunan semula kawasan seluas 330 hektar di pusat bandar Sibu, yang akan diubah menjadi kawasan moden bersepadu merangkumi kediaman, komersial dan kemudahan awam.

Manakala, Projek Pasir Panjang di Kuching merangkumi hampir 158 hektar, memberi fokus kepada pembangunan pelancongan dan pelbagai guna, sekali gus dijangka merangsang ekonomi setempat serta membuka peluang pekerjaan.

Reruai pameran LCDA turut menampilkan pembentangan digital interaktif yang menarik, memperlihatkan visi agensi itu dalam pembangunan tanah secara lestari serta peranannya dalam agenda pembangunan jangka panjang negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut melawat reruai LCDA memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif yang ditampilkan dalam acara antarabangsa ini.