MANCHESTER: Sarawak menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030, sekali gus meletakkan negeri itu pada landasan baharu dalam pembangunan ekosistem teknologi tinggi berasaskan cip, satelit, data geolokasi dan kecerdasan buatan (AI) Grid masa nyata.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada hala tuju negeri untuk menguasai teknologi masa depan yang semakin bergantung kepada AI, semikonduktor dan keupayaan pengurusan data secara masa sebenar.
Menurut beliau, teknologi satelit nano berasaskan CubeSat berpotensi membolehkan Sarawak membangunkan konstelasi satelit sendiri bagi memperoleh imej bumi, data geolokasi serta maklumat strategik yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor pembangunan.
“Menjelang 2030, sasaran kita ialah melancarkan nanosatelit pertama menggunakan CubeSat. Melalui konstelasi satelit, kita boleh memperoleh imej bumi dan data geolokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Sarawak Agenda Town Hall ‘Sarawak Towards The Future’ sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026, UK Edition semalam waktu tempatan.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata teknologi masa depan akan banyak bergantung kepada keupayaan cip, satelit dan AI Grid yang saling berhubung secara masa nyata.
“Teknologi masa depan banyak bergantung kepada cip, satelit dan AI Grid masa nyata. AI sangat bergantung kepada cip, termasuk cip satelit,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor, AI, satelit, kejuruteraan dan data perlu diperkukuh bagi memastikan anak Sarawak mampu mengisi keperluan ekonomi baharu menjelang 2030.
Dalam pada itu, Premier berkata teknologi AI, hidrogen dan semikonduktor menjadi antara teras utama hala tuju masa depan Sarawak dalam membina ekonomi baharu yang lebih mampan, berdaya saing dan selari dengan perubahan teknologi global.
Beliau berkata, hala tuju tersebut dirangka selepas negeri berdepan cabaran besar termasuk perubahan landskap politik negara serta krisis Covid-19 yang menjejaskan ekonomi.
Menurut beliau, situasi itu mendorong kepimpinan Sarawak merangka Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) sebagai asas pembangunan jangka panjang negeri.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki,
Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta yang lain. – UKAS
