SARATOK: Projek pemasangan talian grid 33kilovolt dari Jalan Kampung Kaba ke simpang Kampung Nyabor di sini antara yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Penyelarasan Projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri berkata, mesyuarat itu menjelaskan kerja-kerja pemasangan grid berkenaan kini mencapai 53 peratus siap mengikut jadual.
Sebanyak 25 projek pembangunan di bawah BDDA di kawasan Kalaka dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, katanya.
Projek ini amat penting untuk memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai kepada penduduk di kawasan berkenaan, katanya.
Beliau yang menghadiri mesyuarat itu memaklumkan, projek tersebut banyak mengubah landskap pembangunan di DUN Kalaka, dengan tumpuan terhadap infrastruktur asas dan kemudahan rakyat luar bandar.
Antara agensi yang membentangkan laporan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Sarawak Energy Berhad, Jabatan Pertanian serta Majlis Daerah Saratok.
Selain itu, turut dibincangkan ialah projek naik taraf jalan-jalan pertanian, pembinaan Tebingan Saratok (waterfront), pemasangan lampu solar di 36 rumah panjang dan 24 kampung, serta kerja menaik taraf sistem perparitan di 14 kampung sekitar Pekan Saratok.
Turut hadir wakil dari Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok serta urusetia BDDA.
