Kupon sah letak kereta boleh dikembali semula di Pejabat Kuching City Parking

KUCHING: Sistem letak kereta berasaskan kupon akan digantikan dengan Sistem Letak Kereta Pintar Kuching berkuatkuasa pada 1 November ini.

Melalui sistem baharu ini, kaedah kupon gores/lama akan digantikan dengan platform digital yang direka bagi memudahkan pengguna, mempertingkatkan kecekapan operasi, serta menggalakkan amalan mesra alam melalui pengurangan penggunaan bahan berasaskan kertas.

Peralihan ini merupakan inisiatif
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam meningkatkan kemudahan kepada pengguna,mempertingkatkan kecekapan penguatkuasaan serta menyokong usaha menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya pintar dan mampan.

Sehubungan itu, pemulangan semula kupon boleh dilakukan di Pejabat Kuching City Parking System, Aras Bawah, Lot 9688, 9692, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, di sini.

DBKU dalam kenyataannya memberitahu, pemegang kupon dikehendaki mengemukakan baki kupon yang dibeli antara 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober 2025, berserta nombor siri seperti berikut:

20 sen
AP05530001 – AP09530000

50 sen
BB3426001 – BB3506000

80 sen
CB0750001 – CB0780000

Dengan pelaksanaan sistem baharu ini, penggunaan kupon letak kereta sedia ada akan dihentikan sepenuhnya.

Orang awam yang masih mempunyai kupon sah boleh memohon pemulangan semula sebelum 30 November 2025 dan digalakkan untuk membuat tuntutan pemulangan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir.

DBKU dan MBKS menghargai kerjasama serta kefahaman orang awam sepanjang tempoh peralihan ini.

“Kami akan terus komited dalam usaha meningkatkan kualiti hidup warga Kuching melalui pelaksanaan teknologi pintar dan sistem pengurusan bandar berasaskan data,” kata kenyataan itu.