Jangan mencerca rezeki, nasihat Abdullah

PULAU BRUIT: Nasihat ringkas ibu bapa boleh dijadikan asas penting dalam membentuk sahsiah diri, menanam nilai kejujuran serta rasa syukur dalam kehidupan seharian, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Beliau berkongsi nasihat yang pernah diberikan oleh ibunya semasa kecil dan masih diingati hingga kini pada majlis Khatam Al-Quran pelajar SK Kampung Penibong di sini, semalam.

Pesan ibunya amat bermakna dan wajar dijadikan pedoman oleh generasi muda masa kini, katanya.

Beliau memetik pesan ibunya untuk dikongsikan bersama penduduki kampung: “Jangan berbohong, jangan mencuri, jangan mencerca rezeki (makanan) dan jangan suka mengeluh”.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menegaskan, beliau akan sekali lagi membangkitkan isu SK Penibong yang telah lama terbengkalai kepada kementerian berkaitan.

Majlis Khatamal Al-Quran tu disertai 10 murid. Mereka memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan penuh tertib dan khusyuk, menandakan pencapaian penting dalam pembelajaran agama Islam di sekolah tersebut.

Beliau berkata, majlis tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk meraikan kejayaan pelajar, tetapi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Selain itu, katanya menyemai semangat cintakan Al-Quran dan nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda.

Hadir sama Guru Besar SK Penibong, Mohd. Musa Morshidi, wakil Pegawai Pendidikan Derah Daro, Ismail Majelis dan Ketua Kaum Jahan Masni.