Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang tiba di Kuching, mulakan lawatan empat hari

KUCHING: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selamat berangkat tiba di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada sekitar 12.10 tengah hari disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam serta dif kenamaan yang lain.

Selesai majlis doa selamat ringkas di LTAK, Baginda berdua berkenan berangkat ke Masjid Darul Barakah, Taman Satria Jaya BDC bagi menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah setempat.

Keberangkatan Baginda berdua ke Sarawak ini adalah bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari sehingga Isnin depan setelah kali terakhir berkenan menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang semasa program Kembara Borneo 2023 ketika memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sepanjang lawatan rasmi ini, Baginda berdua dijadual berangkat mencemar duli ke pelbagai acara rasmi dan kebudayaan yang melibatkan rakyat negeri ini.

Pada malam ini, Baginda berdua dijangka berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Malam Mesra Sarawak–Pahang yang akan berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Pada keesokannya, Baginda berdua berkenan berangkat ke Kampung Kanchong Baru, Gedong bagi meninjau kegiatan tenunan di Seri Gedong Songket.

Al-Sultan Abdullah seterusnya dijangka mencemar duli ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, manakala Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke Kompleks Songket Sri Kenyalang di Penjara Puncak Borneo.

Pada sebelah malam, pasangan Diraja itu dijadual berkenan berangkat ke Tebingan Sungai Kuching bagi mencemar duli ke Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2025. Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pertunjukan Musical Fountain dan persembahan bunga api.

Seterusnya pada Ahad, Baginda berdua berkenan berangkat ke Kampung Budaya Sarawak pada sebelah pagi, sebelum mencemar duli sekali lagi ke Majlis Penangguhan Regata Sarawak 2025 serta Festival Kraf Borneo Sarawak 2025 pada sebelah petang.

Seri Paduka Baginda berdua dijangka berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur pada Isnin menerusi LTAK ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.