KUCHING: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke Pahang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini sekitar jam 11.35 pagi tadi.
Baginda dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah serta isteri, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan tiba di LTAK sekitar jam 10.57 pagi tadi.
Hadir mengiringi keberangkatan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan anaknya, Dayang Norjihan.
Juga hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Air), Datuk Jerip Susil; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Demak Laut, Datuk Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan lawatan rasmi di Sarawak pada 31 Oktober lalu dengan menghadiri Malam Mesra Sarawak-Pahang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, mencemar duli ke Seri Gedong Songket di Kampung Kanchong Baru, Gedong dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh serta Kompleks Songket Sri Kenyalang, di Penjara Puncak Borneo dalam lawatan yang berasingan.
Baginda berdua bersama anakanda dan isteri juga berkenan ke Festival Gendang Sarawak seterusnya ke Kampung Budaya Sarawak serta Majlis Penangguhan Regatta Sarawak-Kuching Waterfront Festival 2025, semalam. – JAPEN
