KUCHING: Kejayaan Muzium Budaya Borneo menduduki tangga teratas dalam undian laman global Museum World Ranking membuktikan keunikan dan daya tarikannya di peringkat antarabangsa, sekali gus menjulang nama Sarawak di mata dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keistimewaan muzium itu terletak pada pendekatannya yang interaktif dan berasaskan teknologi moden, menjadikannya berbeza daripada muzium konvensional lain di seluruh dunia.
“Sejak awal lagi, kita mahu MBB tampil dengan konsep baharu — bukan sekadar tempat pameran, tetapi pengalaman digital dan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Inilah yang menjadikannya unik dan mampu menarik minat pengunjung global,” katanya selepas merasmikan pembukaan Hotel Legacy Hill di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil perancangan itu kini menciptakan kejayaan apabila muzium itu berjaya mengatasi muzium terkemuka dunia seperti Louvre di Paris, satu pencapaian yang amat membanggakan bagi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Setakat kemas kini di laman museumworldranking.net, MBB menerima 4,245 undian dan mengungguli senarai berbanding Louvre yang memperoleh 4,027 undian, diikuti muzium terkenal lain seperti National Museum of Anthropology di Mexico dan Guggenheim Museum Bilbao di Sepanyol.
Sejak mula dibuka kepada umum Mac 2022, MBB telah mencipta nama sebagai muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, menampilkan galeri bertema serta paparan budaya etnik Sarawak dalam bentuk interaktif dan digital yang memikat.
Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan MBB sebagai mercu tanda pelancongan utama, tetapi juga mencerminkan kejayaan Sarawak dalam memadukan warisan budaya dengan kemajuan teknologi untuk menjana daya tarikan global.
