SONG: Sistem bekalan air di daerah ini ditambah baik bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi ,Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementerian tersebut bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terus memberi komitmen melalui pelaksanaan pelbagai projek bekalan air yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Antara projek yang telah siap ialah pembinaan Acute System di Loji Rawatan Air Song bernilai RM14 juta, berkapasiti empat juta liter sehari (JLH), yang kini beroperasi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada kira-kira 1,400 rumah, lapan rumah panjang serta sebuah sekolah.
Selain itu, katanya, projek pembinaan Loji Rawatan Air Song baharu berkapasiti 20 juta liter sehari dengan kos RM140 juta kini dalam fasa tender dan dijangka meningkatkan keupayaan bekalan air di daerah itu apabila siap kelak.
Beliau berkata, projek penggantian paip baharu dari simpang Rumah Nyantau ke Rumah Jarop sepanjang 1.2 kilometer (km) bernilai RM1.04 juta kini dalam fasa penilaian tender.
Sementara itu, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Song ke Kanowit yang bernilai RM49.9 juta masih dalam perancangan dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 450 isi rumah.
“Projek cadangan sistem bekalan air Song dengan anggaran kos RM30 juta turut dalam perancangan dan melibatkan pembinaan stesen pam penggalak, tangki simpanan air serta saluran paip sepanjang 14KM,” katanya semasa sesi taklimat utiliti dan telekomunikasi sempena lawatan kerja ke Daerah Song, hari ini.
Menurut Julaihi, JBALB akan memastikan semua projek dilaksanakan mengikut jadual bagi memperluas liputan dan menambah baik sistem bekalan air secara menyeluruh di Daerah Song.
