PUTRAJAYA: Dasar pembangunan Sarawak berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mencerminkan komitmen Sarawak mencapai pertumbuhan secara inklusif dan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan di sini, hari ini.
Mesyuarat peringkat tertinggi itu bertujuan menilai kemajuan Malaysia dalam menyatukan SDG ke dalam dasar pembangunan negara dan negeri.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menegaskan, dasar Sarawak itu terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 yang menyasarkan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.
Ia memfokus kepada tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan jawatankuasa SDG Sarawak sebagai strategi untuk mencapai matlamat berkenaan.
Inisiatif itu, tambahnya, bertujuan menggabungkan semua 17 SDG menjadi dasar dan program bagi menjamin pembangunan mampan dan inklusif dalam semua sektor dapat dicapai.
Menurut Awang Tengah, Jawatankuasa SDG Sarawak terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Tujuh Kumpulan Kerja yang fokus kepada pertumbuhan ekonomi, inklusiviti dan kesejahteraan, kelestarian kewangan, pendidikan, inovasi dan modal insan, alam sekitar dan sumber asli, Pembangunan Lokasi SDG dan bandar, tindakan tempatan SDG dan daya tahan masyarakat.
Beliau juga berkata, Hala Tuju SDG Sarawak untuk 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilancar 21 Oktober lalu.
Pelan tindakan itu dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Majlis Perbandaran Pedawan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan, sebagai sebahagian daripada usaha SDG menetapkan lokasi dan meningkatkan inisiatif berasaskan masyarakat, katanya.
Mesyuarat SDG Kebangsaan itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mempercepatkan agenda pembangunan mampan Malaysia menjelang 2030.
