SAMARAHAN: Program pekerjaan sambilan MySISWA@Job on Campus (MySISWA@JoC) Universiti Awam Peringkat Kebangsaan dilancarkan di Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir melancarkan program terbabit dan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan atas kelulusan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menjayakan inisiatif ini.
“Program ini melibatkan 20 universiti awam, dengan sasaran penyertaan 10,000 mahasiswa serta pewujudan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan dalam kampus menjelang akhir tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata MySISWA@JoC juga melambangkan tekad Kerajaan MADANI memperkasa pembangunan mahasiswa dan memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan negara secara lebih menyeluruh.
“Pengalaman bekerja di kampus akan membantu mahasiswa memahami bahawa kejayaan tidak hadir hanya melalui ilmu yang dipelajari di bilik kuliah.
Sebaliknya katanya, melalui pengalaman, kematangan dan keupayaan berinteraksi dengan manusia serta mengurus cabaran kehidupan,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, UNIMAS komited untuk memastikan ekosistem digital serta sistem papan pemuka yang dibangunkan bagi program ini dapat memudah cara penyelarasan peluang pekerjaan mahasiswa secara lebih efisien, sistematik, dan berkesan.
Katanya, MySISWA@JoC membuka peluang keemasan kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan secara fleksibel di dalam kawasan kampus sendiri dan lebih daripada sekadar bantuan kewangan.
Menurutnya, program ini berfungsi sebagai inkubator intervensi awal yang membentuk kemahiran insaniah (soft skills), nilai kepimpinan, etika kerja, dan profesionalisme mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
